Update Kes Pukul Ibu : Shukrey Ditawar Belajar Di Tahfiz Sabah

Jom Share...

Muhammad Shukrey Mohammad Nasir,15, yang memukul ibunya menggunakan tangan sehingga videonya tular di laman sosial Selasa lalu ditawarkan belajar di pusat tahfiz.

Ibunya, Umisarah Manaf, 36, berkata, wakil pusat tahfiz yang mempunyai cawangan di seluruh negara hadir ke rumahnya semalam bagi membincangkan perkara itu.

“Pihak tahfiz mahu kami melawat dahulu sekolah yang akan ditawarkan. Berdasarkan perbincangan, mereka cadangkan untuk Shukrey bersekolah di cawangan mereka di Sabah.

“Saya tidak kisah, malah bersyukur jika dia bersekolah di tahfiz. Ibu mana yang tidak mahu anaknya belajar agama. Bapanya juga mengalu-alukan tawaran itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Umisarah turut menjelaskan, sebelum anaknya memberontak meminta duit untuk perbelanjaan sekolah, dia terlebih dahulu meronta-ronta membetulkan zip seluar sekolahnya yang rosak.

“Ketika itu semua dalam keadaan sibuk. Ayahnya sudah keluar bekerja, saya pula mahu bersiap untuk pergi kerja, neneknya tak nampak apa-apa (separuh buta), ketika itu dia sudah tertekan kerana tiada siapa mahu melayan.

“Selepas itu dia minta duit belanja kepada saya, saya tak bagi sebab memang tinggal untuk belanja saya ulang alik dan makan di tempat kerja. Tak sangka dia marah sampai macam tu sekali. Saya jadi panik,” katanya

Menurutnya, dia tidak tahu bahawa duit simpanan Shukrey sudah kehabisan kerana Shukrey sentiasa mempunyai duit sendiri hasil menjual tin, botol dan kotak serta upah membantu penduduk setempat.

Katanya, tidak dinafikan anaknya itu seorang yang pemarah apabila tertekan dan pernah meninggi suara terhadapnya namun tindakan memukul itu adalah kali pertama.

“Shukrey berbeza sedikit berbanding adik-adiknya yang lain. Dia sedikit lemah dalam pembelajaran dan mudah tertekan jika ada sesuatu yang tidak puas hati. Tetapi di sekolah dia tiada masalah disiplin, cuma dia belajar di kelas paling hujung,” katanya yang bekerja di kilang sos di ibu negara.

Shukrey ketika ditemui berkata, dia bersetuju sekiranya ditawarkan untuk ke sekolah tahfiz dan cuba memperbaiki diri untuk mengawal emosinya selepas kejadian memukul ibunya itu.

Update Kes Pukul Ibu : Shukrey ditawar belajar di tahfiz Sabah

“Saya menyesal.. saya sudah malukan mak dan abah. Kalau saya disekolahkan di tahfiz pun, tak mengapa,” katanya.

Menurutnya, dia tetap akan menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang bermula 2 Oktober ini meskipun emosinya terganggu selepas diejek rakan susulan videonya memukul ibunya tular di laman sosial sejak Selasa.

Selasa lalu, video berdurasi 42 saat itu menerima pelbagai reaksi netizen di laman sosial serta menerima lebih 100,000 tontonan dalam tempoh empat jam selepas ditularkan kira-kira jam 6 petang.

Bapa Shukrey, Mohammad Nasir Budori, 39, membuat laporan polis apabila bimbang keselamatan keluarga selepas netizen memberi kecaman serta ugutan mahu mencederakan Shukrey.

Harian Metro kelmarin melaporkan Shukrey sudah meminta maaf dan menyesal dengan perbuatannya serta berjanji tidak mahu mengulangi perbuatannya itu.

Loading...